Wednesday, May 31, 2017

~ Resipi Udang Sambal Belacan...

Sheery Dream Cakes | 1:59 PM |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Bersiaran kembali bersama resipi Udang Sambal Belacan. Kali ini versi kedua pula ya. Jika anda ingin tengok resipi versi yang lepas, anda boleh klik DI SINI. Bahan dan cara menyediakannya juga berbeza dari versi yang ini. 

Jom semak salah satu menu bersahur kami pagi tadi ni,  resipi Udang Sambal Belacan.


UDANG SAMBAL BELACAN

Bahan-Bahan
  • 780 gm udang bersaiz besar _ yang telah dikupas kulitnya, kepalanya dan uratnya
  • Segenggam udang kering _ direndam di dalam air panas, bersihkan, toskan dan ditumbuk kasar
  • Daun bawang _ dipotong 2 inci panjang
  • 1 biji bawang besar _ dihiris kasar
  • 10 tangkai cili kering _ buangkan bijinya, dipotong kecil, rendam di dalam air panas sehingga lembut dan toskan
  • 1 tsp kicap cair Loon Kee
  • 2 tsp paste asam jawa Xtra tanpa biji Adabi
  • 1 tsp perencah pati ayam Tumix
  • Gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis dan menggoreng

                    Bahan-Bahan A
                    • 4 ulas bawang merah _ dihiris
                    • 5 ulas bawang putih _ dihiris
                    • 1 inci halia _ dihiris
                    • 1 batang serai _ dihiris
                    • Belacan sebesar ibu jari


                    Cara-Cara
                    1. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng cili kering hingga garing. Angkat dan tumbuk atau kisar hingga lumat. Ketepikan. 
                    2. Masukkan bahan-bahan A dan goreng sehingga garing. Angkat dan kisar bersama sedikit air.
                    3. Keluarkan sedikit minyak gorengan tadi dan masukkan bahan-bahan A dan cili kering kisar. Tumis sehingga wangi dan pecah minyak.
                    4. Masukkan udang kering dan sedikit gula. Tumis hingga garing.
                    5. Setelah itu bolehlah masukkan udang dan paste asam jawa. Gaul dan biarkan sehingga udang masak.
                    6. Masukkan kicap cair dan perencah pati ayam Tumix. Gaul sebati.
                    7. Masukkan hirisan bawang besar dan gaul rata. Masak seketika.
                    8. Akhir sekali bolehlah dimasukkan daun bawang dan gaul rata. Tutupkan api.
                    9. Angkat dan sedia untuk dihidang bersama nasi putih panas.



                    0 comments: