Showing posts with label Ayam. Show all posts
Showing posts with label Ayam. Show all posts

Saturday, July 22, 2017

~ Resipi Nasi Tomato, Ayam Masak Merah & Acar Timun Mentah...

Sheery Dream Cakes | 11:50 AM | | | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Nasi Tomato biasanya dihidang semasa majlis perkahwinan, majlis sambutan rumah terbuka di hari perayaan atau ketika keramaian majlis keluarga. Ianya sesuai juga dihidang untuk makan malam atau menu makan tengahari seisi keluarga.

Nasi tomato merupakan menu makan malam kami seisi keluarga beberapa hari yang lepas. Digandingkan bersama ayam masak merah dan acar timun mentah. Nasi tomato ini sesuai juga dimakan bersama pajeri nanas. Tetapi di rumah ni hanya suami Diana sahaja yang suka makan pajeri nanas. Tu yang gandingkan sahaja nasi tomato ni bersama acar timun mentah.

Resipi nasi tomato ini Diana ikut dari blog Akak Ummi. Nasi ni memang sedap di tekak kami seisi keluarga. Memang berbaloi mencubanya. Jika anda ingin mencubanya, bolehlah rujuk resipinya di bawah ya.

Terima kasih buat Akak Ummi kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ni. Izinkan Diana kongsikannya di sini pula ya akak. Terima kasih.

:: Resipi Oleh ~ Akak Ummi Zaihadi @ Home Sweet Home  ( TQ )

NASI TOMATO 

Bahan-Bahan
  • 3 1/2 cawan beras basmathi Moghul Faiza - basuh dan rendam 15 minit. Toskan. 
  • 4 1/2 cawan air
  • 1 cawan susu sejat Ideal 
  • 2 biji tomato - didadu kecil 
  • 4 sudu besar pes tomato 
  • 2 helai daun pandan - disimpul 
  • 1 sudu besar garam kasar 
  • 4 sudu besar minyak sapi Ghee 
  • 1 cawan kismis
  • 1 cawan gajus yg digoreng / dipanggang 
  • Bawang goreng secukupnya


Bahan Tumis
  • 2 batang kulit kayu manis 
  • 2 kuntum bunga lawang 
  • 3 biji buah pelaga 
  • 7 biji bawang merah - dimayang nipis 


Cara Memasak
  1. Panaskan minyak sapi dalam periuk dan tumiskan bahan tumis hingga naik bau. 
  2. Masukkan tomato, pes tomato dan kacau sebentar. 
  3. Masukkan beras basmathi dan daun pandan. Gaul rata sekejap. 
  4. Masukkan air, susu sejat dan garam. Kacau perlahan sekejap dan biar nampak mendidih sikit. 
  5. Tuangkan ke dalam periuk nasi elektrik ( rice cooker ) dan masak nasi seperti biasa. ( *akak terus tumis dalam periuk elektrik tersebut dan alihkan untuk masak seperti biasa ). 
  6. Bila nasi sudah kering, kaup nasi perlahan-lahan dari bawah ke atas, rata perlahan dan tabur kismis dan gajus. 
  7. Biarkan nasi masak elok. 
  8. Hidangkan dengan taburan bawang goreng, ayam merah tomato dan acar masak atau ( klik untuk resipinya )  acar timun mentah.

Ayam Masak Merah ni memag kegemaran Diana sejak kecil lagi. Diana jenis yang suka makan ayam masak merah yang dicampur dengan sedikit rempah kari. Biasa juga kita jumpa ayam masak merah seperti ini di majlis-majlis perkahwinan dan kenduri sekampung di sini. Cuma Diana jarang memasak ayam masak merah ni sejak beberapa tahun yang lalu. Anak kecil Diana memang kurang suka makan apa sahaja jenis menu yang dimasak merah. Tak kiralah ayam, daging atau makanan laut. Tetapi beberapa hari yang lepas, ada yang teringin nak makan ayam masak merah ni bersama nasi tomato. Baiklah, apa kata kita semak resipinya pula.

:: Resipi Oleh ~ skybluemelleymey

AYAM MASAK MERAH

Bahan-Bahan A
  • 1 ekor ayam _buangkan kulit dan dipotong ikut citarasa
  • Serbuk kunyit
  • Garam

Bahan-Bahan B ( Dikisar halus )
  • 6 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 batang serai

Bahan-Bahan C 
  • 2 biji bawang merah _ dihiris nipis
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 biji buah pelaga
  • 1 kuntum bunga lawang

Bahan-Bahan D
  • 2 tbsp serbuk kari daging + sedikit air _ ( Diana biasa guna serbuk kari Adabi atau Baba's ) 
  • 2 tbsp sos tomato Maggi _ ( boleh gantikan dengan tomato puri )
  • 1/2 cawan sos cili Maggi _ boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa masing-masing
  • 3 tbsp cili boh
  • 1/2 tsp serbuk jintan putih
  • 1/2 tsp serbuk jintan manis
  • 1/2 cawan air atau secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Gula
  • Paste asam jawa jika suka _ ( optional )

Bahan-Bahan E
  • 1 biji bawang besar _ dihiris bulat
  • Daun sup _ dihiris
  • Cili merah  _ buangkan bijinya dan dihiris 
  • Kacang peas frozen atau yang di dalam tin
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis


Cara-Cara
  1. Campurkan kesemua bahan-bahan A dan gaul rata. Perap 10 minit.
  2. Panaskan minyak yang banyak dan goreng ayam sehingga masak tetepi jangan terlalu garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali yang lain. Masukkan bahan-bahan C sehingga wangi.
  4. Kemudian masukkan bahan-bahan B dan tumis lagi hingga garing.
  5. Masukkan bancuhan serbuk kari, cili boh, serbuk jintan manis dan jintan putih. Gaul dan masak sehingga kari betul-betul masak dan terbit minyak.
  6. Masukkan sos cili, sos tomato / tomato puri, sedikit garam, gula dan jika suka boleh bubuh sedikit paste asam jawa. Gaul rata. Masak sehingga semua bahan mesra.
  7. Tambahkan air, ayam goreng dan kacang peas frozen. Gaul rata dan masak sehingga mendidih dan kuahnya pekat.
  8. Akhir sekali bolehlah dimasukkan hirisan bawang besar dan cili merah. Gaul dan masak seketika.
  9. Tutupkan api dan taburkan hirisan daun sup.
  10. Hidang.



BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Thursday, July 6, 2017

~ Resipi Nasi Minyak Hujan Panas Bersama Kari Terung & Ayam Masak Kurma...

Sheery Dream Cakes | 10:13 AM | | | Be the first to comment!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Nasi Minyak Hujan Panas ini merupakan menu makan malam kami 2 hari lepas yang Diana gandingkan dengan kari terung bersama ayam masak kurma. Agak lama juga Diana tidak memasak nasi minyak hujan panas. Kali ini Diana mencuba resipi dari Makyong pula. Alhamdulillah.. Sedap di tekak kami sekeluarga. Sukatan airnya tu Diana tambah kepada 6 cawan sebab sudah biasa Diana masak dengan sukatan beras Moghul Faiza. 

Sebenarnya ada permintaan untuk ayam masak kurma ni. Katanya rindu nak makan ayam masak kurma masakan mummy dia ni. Kali terakhir memasak ayam masak kurma pada bulan lepas semasa bulan Ramadhan. Masak untuk berbuka puasa. Rumah terbuka Hari Raya baru-baru ni pun bukan Diana yang masak kurma ayam. Rupanya ada yang rindu masakan mummy dia. Hehehe...

Baiklah, kita terus sahaja tengok resipi Nasi Minyak Hujan Panas yang sedap ini. Terima kasih buat Makyong dan Hasue. Izinkan pula Diana panjangkan resipi ini di sini ya.

:: Resipi Oleh ~  Makyong@myresepi.com  ( TQ )
:: Sumber ~ HaSue @ I Love My Life  ( TQ )

NASI MINYAK HUJAN PANAS
( Untuk 5 orang )

Bahan-Bahan
  • 4 cawan beras basmati _ ( Diana guna beras Moghul Faiza Basmathi )
  • 5 cawan air _ Diana bubuh 6 cawan air
  • 2 kiub ayam 
  • Pewarna merah, kuning dan hijau

Bahan Tumis

  • 1/2 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

Bahan Hiasan

  • Bawang goreng
  • Kismis
  • Biji gajus goreng

Cara-Cara
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Toskan.
  2. Hiris nipis-nipis halia dan mayang semua jenis bawang.
  3. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumis sehingga bau wangi.
  4. Masukkan beras dan gaul rata.
  5. Masukkan air, kiub ayam dan daun pandan.
  6. Masaklah nasi sehingga masak.
  7. Bila nasi sudahkering, letakkan 1-2 titik untuk setiap pewarna kuning, merah dan hijau ditempat yang berasingan. Bila nasi sudah masak masak, gembur-gemburkan nasi itu.
  8. Hiaslah dengan bawang goreng, gajus atau kismis jika suka.

**NOTE Diana~ 
Untuk sukatan airnya tu, Diana bubuh 6 cawan mengikut seperti sukatan yang Diana masak harian di rumah ni. 


:: Resipi Oleh ~ skybluemelley


KARI TERUNG


Bahan-Bahan
  • Terung _ dipotong mengikut citarasa masing-masing
  • Serbuk kari daging Baba's
  • Santan pekat / santan dalam kotak
  • Air 
  • Garam
  • Gula
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Tumbuk
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia
  • Udang kering _ direndam di dalam air panas hingga lembut, bersihkan dan toskan
  • Sedikit belacan 

Cara-Cara
  1. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan-bahan tumbuk. Tumis sehingga naik aromanya.
  2. Masukkan sedikit gula. Tumis lagi sehingga garing.
  3. Masukkan serbuk kari, sedikit garam dan sedikit air. Gaul dan tumis sehingga kari betul-betul masak.
  4. Masukkan terung dan gaul rata. 
  5. Setelah terung layu, bolehlah dimasukkan air. Gaul dan masak seketika.
  6. Tambahkan santan dan gaul. Biarkan ianya mendidih.
  7. Sesuaikan rasa dan tambahkan garam serta gula jika perlu. Setelah terung masak, tutupkan api.
  8. Hidang bersama nasi putih panas atau nasi minyak.


:: Resipi Oleh ~ skybluemelley
:: Entri lepas boleh klik DI SINI


AYAM MASAK KURMA

Bahan-Bahan
  • 1 kg ayam _ dipotong kecil-kecil
  • 70 gm rempah kurma Adabi ( boleh dikurangkan mengikut citarasa masing-masing )
  • 2 biji cili merah _ dibelah dan buang bijinya
  • 2 biji bawang besar _ dibelah 4 
  • 2 inci kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 70 gm kerisik
  • 2 tbsp gula
  • 2 tbsp susu pekat
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit air panas
  • 200 ml santan pekat
  • Sedikit air asam jawa
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Dikisar Halus
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 6 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 batang serai


Cara-Cara
  1. Campurkan gula, rempah kurma dan air panas. Gaul rata. Ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar sehingga terbit aromanya. 
  3. Masukkan campuran rempah kurma tadi. Tumis sehingga pecah minyak.
  4. Kemudian masukkan ayam dan gaul rata. Tutup penutup periuk dan masak sehingga ayam empuk.
  5. Setelah itu, bolehlah dimasukkan santan pekat dan air secukupnya mengikut citarasa masing-masing.
  6. Tambahkan air asam jawa, susu pekat dan garam secukup rasa.
  7. Masukkan kerisik. Gaul dan masukkan pula bawang besar dan cili merah. Masak seketika.
  8. Angkat dan hidang.


BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Saturday, June 10, 2017

~ Resipi Sup Ayam Tomato...

Sheery Dream Cakes | 9:06 AM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Sup Ayam Tomato ni sangat mudah untuk disediakan. Ianya amat sesuai dimasak ketika hari sibuk atau hari bekerja. Bahan-bahannya ringkas sahaja dan cara memasaknya pun teramatlah senangnya. Kita tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyediakan bahan-bahannya. Utamanya bagi suri rumah yang bekerja yang mana perlu menyediakan menu makan malam untuk seisi keluarga, menu ni amat sesuai sekali. 

Diana pernah kongsikan resipinya  DI SINI dulu. Nak tau mudah atau tidak cara penyediaannya, apa kata kita semak resipinya di bawah.

Untuk tengok entri yang lepas, anda boleh klik DI SINI.

SUP AYAM TOMATO

Bahan-Bahan
  • 700 gm ayam _ dipotong ketulan kecil
  • 2 biji ubi kentang _ dipotong 8 ( kalau ubi kentang tu kecil potong 4 sahaja )
  • 1 batang lobak merah _ dipotong bulat
  • 3 biji tomato _ dipotong 4
  • 1 biji bawang besar _ dipotong 8
  • 2 inci halia _ dihiris
  • Garam secukup rasa
  • Air secukup kegunaan

Cara-Cara
  1. Didihkan air secukupnya d dalam periuk. Masukkan kesemua bahan kecuali garam.
  2. Masak sehingga mendidih di atas api kuat.
  3. Kemudian renih sehingga ayam masak di atas api sederhana.
  4. Bubuh garam dan sesuaikan rasa.
  5. Angkat dan hidang ketika ianya masih panas.


BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Thursday, June 8, 2017

~ Resipi Ayam Panggang Kerisik...

Sheery Dream Cakes | 12:22 PM | Be the first to comment!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera... 

Ayam Panggang Kerisik  ni merupakan juadah kami seisi keluarga semasa bersahur pagi tadi. Cara penyediaannya pun mudah sahaja. Tu yang masak untuk bersahur pagi tadi. Dah lama Diana tidak masak Ayam Panggang Kerisik ni. Kelmarin tiba-tiba pula teringat resipi ni. Dulu Diana pernah kongsikannya di entri INI. Tetapi untuk hari ni Diana akan kongsikan resipi yang sedikit berbeza dari resipi yang lepas ya. Tidaklah banyak sangat bezanya. Sedikit saja. Jom semak resipi untuk versi terbaru ni.



AYAM PANGGANG KERISIK

Bahan-Bahan
  • 4 keping paha ayam _ buangkan tulangnya dan potong kepada 2 bahagian
  • 3 tbsp kerisik _ ( boleh juga bubuh 2 tbsp jika tidak suka banyak kerisik )
  • 200 ml santan pekat _ ( 1 kotak )
  • 2 helai daun kunyit _ diracik halus
  • Paste asam jawa secukup rasa
  • Garam
  • Gula Melaka
  • Air secukup kegunaan

Bahan-Bahan Dikisar
  • 4 ulas bawang putih
  • 8 biji bawang merah
  • 2 inci halia
  • 1 batang serai
  • 1 tangkai cili merah
  • 3 tangkai cili padi _ ( boleh ditambah jika suka pedas )
  • 1 biji buah tomato
  • 1 tbsp serbuk kunyit
  • 3 tbsp serbuk kari daging Baba's 

Cara-Cara
  1. Campurkan ayam dengan bahan-bahan yang dikisar. Ramas sehingga semua bahan bersalut rata. Perap selama 10 minit atau lebih. 
  2. Masukkan ayam berserta bahan-bahan kisar ke dalam kuali / periuk. Tuangkan santan dan sedikit air. Masak hingga mendidih.
  3. Tambahkan garam, gula melaka, paste asam jawa dan kerisik. Teruskan memasak hingga ayam empuk dan perencah meresap, angkat.
  4. Kemudian panggang ayam seketika untuk menambahkan aromanya.
  5. Sementara itu, teruskan menumis lebihan perencah sehingga garing dan pecah minyak ( tambahkan sedikit minyak jika perlu ketika menumis ).
  6. Angkat ayam dari oven dan tuangkan juga lebihan perencahnya ketika menghidang.
  7. Taburkan hirisan daun kunyit di atasnya dan jika suka bolehlah perahkan jus limau kasturi ketika menghidang..
  8. Nikmati bersama nasi panas atau ketupat.




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Monday, May 29, 2017

~ Resipi Sambal Ayam Udang Kering...

Sheery Dream Cakes | 11:50 AM | 1 Comment so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Resipi untuk kali ini merupakan resipi ulang tayang. Resipi Sambal Ayam Udang Kering ni pernah Diana kongsikannya di entri yang lepas pada tahun 2012. Anda boleh klik di SINI untuk tengok entri tersebut ya. 

Untuk memudahkan lagi, Diana salin semula resipinya di bawah. Jom semak sekali lagi resipi Sambal Ayam Udang Kering ini.


SAMBAL AYAM UDANG KERING

Bahan-Bahan
  • 900 gm ayam _ dibuang kulitnya dan dipotong kecil
  • 1 genggam udang kering _ direndam dalam air panas, ditoskan dan ditumbuk kasar
  • 3 ulas bawang merah _ dicincang
  • 2 ulas bawang putih _ dicincang
  • 1 biji bawang besar _ dibelah 2 dan dihiris
  • 2 biji cili merah _ dihiris menyerong
  • 2 biji cili hijau _ dihiris menyerong
  • 3 tbsp cili kering kisar
  • 1 tsp perencah pati ayam Tumix
  • 100 ml air
  • Garam jika perlu
  • Gula melaka secukup rasa
  • Daun sup _ dihiris ( boleh juga guna daun ketumbar )
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Perap
  • 1/2 tsp minyak bijan
  • 1 tsp seasoning Maggi
  • 3/4 tsp garam
  • 1 tsp gula
  • 1 tsp serbuk kari daging dan ayam Baba's
  • 1/2 tsp serbuk cili
  • 1 tbsp tepung jagung

Cara-Cara
  1. Perap ayam bersama bahan perap selama 30 minit dan goreng ayam 3/4 masak. Ketepikan. 
  2. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga sedikit garing.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis selama 3 minit.
  4. Setelah itu masukkan udang kering dan tumis seketika. 
  5. Masukkan gula melaka dan gaul rata.Tumis sehingga pecah minyak. 
  6. Kemudian masukkan ayam goreng dan gaul rata.
  7. Tambahkan air dan perencah pati ayam. Bubuh garam secukup rasa jika perlu. 
  8. Setelah ayam empuk bolehlah masukkan bawang besar, hirisan cili merah dan hijau. Gaul rata dan masak seketika lagi.
  9. Angkat dan sedia untuk dihidang.
  10. Taburkan daun sup / daun ketumbar semasa menghidang.




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Tuesday, May 16, 2017

~ Resipi Ayam Masak Sos Cili Thai...

Sheery Dream Cakes | 12:22 PM | 4 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah.. Hari ini diberi kesempatan untuk bersiaran lagi di blog ini. Dikesempatan ini, Diana ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik. Guru Pembina Negara Bangsa. Terima kasih di atas segala jasa cikgu-cikgu yang sanggup meluangkan masa dan tenaga mendidik kami semua. Jasa guru tidak akan kami lupa hingga ke akhir hayat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa guru. Guru-guru sentiasa kami kenang di dalam setiap doa kami. Terima kasih cikgu. 

Baiklah, hari ini Diana ingin kongsikan resipi Ayam Masak Sos Cili Thai. Versi yang lepas anda boleh klik DI SINIDI SINI dan DI SINI. Sekarang, apa kata kta semak pula resipi terbaru ini ya.


AYAM MASAK SOS CILI THAI

Bahan-Bahan A
  • 3 keping paha ayam
  • 1 biji bawang merah _ dihiris
  • 2 ulas bawang putih _ dihiris
  • 1 inci halia _ dihiris
  • Garam
  • Gula

Bahan-Bahan B
  • Karamel pekat masakan Loon Kee atau boleh juga menggunakan ABC saus manis ( ABC sos manis )
  • Sedikit gula

Bahan-Bahan C
  • 100 ml sos cili Thai Maepranom Brand
  • 1/4 cawan Kimball sos cili Thai 
  • 1/2 tbsp ABC saus manis ( ABC sos manis )
  • 1/2  tbsp sos plum Loon Kee
  • 1 cawan ( atau mengikut citarasa masing-masing ) air rebusan ayam
  • 3 tbsp jus limau kasturi _ boleh ditambah atau dikurangkan mengikut selera masing-masing
  • Garam secukup rasa
  • Gula jika perlu

Bahan-Bahan D
  • Daun sup _ dihiris
  • Biji bijan panggang
  • Air secukupnya untuk merebus
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-Cara
  1. :: Penyediaan Ayam  ~ Campurkan kesemua bahan-bahan A dan perap selama 30 minit - 1 jam. 
  2. Masukkan ayam dan air secukupnya ke dalam periuk. Rebus hingga ayam masak.
  3. Ambil air rebusan untuk kegunaan nanti. Ketepikan.
  4. Keluarkan ayam dan toskan. Lumurkan ayam bersama bahan-bahan B dan goreng sehingga kekuningan. 
  5. Angkat dan toskan. Potong ayam mengikut citarasa masing-masing dan susun di atas pinggan.
  6. :: Penyediaan sos  ~ Masukkan bahan-bahan C ke dalam periuk dan gaul rata. Biarkan ianya mendidih. Sesuaikan rasa dan tutupkan api. Curahkan sos di atas ayam tadi. 
  7. Taburkan dengan hirisan daun sup dan biji bijan panggang.




BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>

Saturday, May 13, 2017

~ Resipi Wantan Mee Kicap...

Sheery Dream Cakes | 12:05 PM | | | 2 Comments so far
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Minggu depan merupakan minggu yang sibuk sedikit buat Diana. Jadi hari ini Diana mengambil kesempatan untuk update blog ni dengan beberapa entri. In Shaa Allah..  Ada beberapa entri yang tertangguh untuk dikongsikan.

Resipi untuk kali ni Diana kongsikan resipi Wantan Mee Kicap yang Diana masak beberapa hari yang lepas. Ahli keluarga Diana sememangnya suka makan wantan mee kicap. Jika ada kelapangan sedikit memang berbaloi memasaknya sendiri. Tetapi jika masa tidak mengizinkan, lebih baik makan atau beli di kedai sahaja. Heheheh.. Memang banyak juga hendak disediakan bahan-bahannya. Nak sediakan wantan goreng, mana lagi nak masak ayamnya dan kuah kicap semestinya.

Baiklah.. Resipinya anda boleh rujuk di bawah ya.

WANTAN MEE KICAP

Bahan-Bahan
  • Mee wantan secukup kegunaan _ celur dan angkat, kemudian celup di dalam air sejuk dan toskan
  • Sayur sawi _ dicelur
  • Wantan goreng _ ( resipinya rujuk di bawah )
  • Ayam Panggang Madu _ ( resipinya rujuk di bawah  atau  KLIK DI SINI )
  • Kuah kicap _ ( resipinya rujuk di bawah )
  • Hirisan daun bawang

Cara Menghidang
  1. Sendukkan kuah kicap ke dalam pinggan atau mangkuk.
  2. Kemudian susun mee wantan, wantan goreng, ayam panggang madu, sayur sawi dan taburkan hirisan daun bawang di atasnya.
  3. Hidang.

WANTAN GORENG

Bahan-Bahan Inti
  • 150 gm udang _ buang kepala, kupas kulit, bersihkan dan dicincang halus
  • 1/2 tsp minyak bijan
  • Sedikit sos ikan
  • Daun sup _ dihiris 
  • Lada putih kisar

Bahan-Bahan A
  • 10 Keping kulit wantan
  • Air untuk pelekat
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-Cara
  1. Masukkan kesemua bahan inti ke dalam mangkuk dan gaul rata. Perap selama 30 minit.
  2. Kemudian ambil sekeping kulit wantan  dan bubuh intinya. Beruskan tepi kulit wantan dengan sedikit air. Lipatkan dengan kemas. 
  3. Ulang proses No.2 sehingga kulit wantan habis digunakan. Ketepikan.
  4. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali dan masukkan wantan udang tadi. Goreng sehingga wantan masak kekuningan.
  5. Angkat dan toskan minyaknya.
  6. Makan bersama sos pilihan atau nikmatinya bersama mee wantan kicap.

AYAM PANGGANG MADU

Bahan-Bahan
  • 3 keping paha ayam _ buangkan tulangnya
  • Sedikit biji bijan panggang
  • Air secukup kegunaan

Bahan-Bahan Perap
  • 1 tbsp sos tiram
  • 1/2 tbsp Oriental BBQ Sauce Life
  • 1 tsp lada berperisa Aji Shio
  • 1 tbsp kicap cair Loon Kee
  • 1 tsp minyak bijan
  • 1/2 tsp jus halia
  • 1 tbsp madu
  • Sedikit gula jika suka

Bahan-Bahan Lain
  • Sedikit madu + sedikit air

Cara-Cara
  1. Gaulkan ayam bersama bahan-bahan perap dan perap selama 30 minit atau lebih.
  2. Masukkan ayam ke dalam periuk dan tambahkan air sehingga paras ayam. 
  3. Rebus ayam sehingga ayam empuk dan kuahnya kering. Tutupkan api. 
  4. Kemudian keluarkan ayam dari periuk dan susun ayam tadi di atas rak besi pemanggang. 
  5. Sapukan ayam dengan campuran madu dan air. Taburkan biji bijan di atas ayam. Ketepikan. 
  6. Panaskan oven pada suhu 200°C  dan masukkan ayam ke dalam oven. Bakar sehingga ayam keperangan.
  7. Setelah ayam masak, keluarkan dari oven dan potong ayam mengikut citarasa masing-masing.
  8. Hidang.
:: Anda boleh KLIK DI SINI untuk tengok entri yang lepas Ayam Panggang Madu.

KUAH KICAP

Bahan-Bahan Ditumbuk
  • 1 inci halia 
  • 3 ulas bawang putih 
  • 5 ulas bawang merah 

Bahan Sampingan
  • 10 keping cendawan hitam, rendam hingga kembang 
  • 4 - 5 cawan air
  • Bancuhan tepung jagung + air 

Bahan Sos (campurkan semua dalam mangkuk kecil) 
  • 5 sudu besar kicap masin 
  • 3 sudu besar kicap manis 
  • 3 sudu besar kicap cair 
  • 3 sudu besar sos tiram 
  • sedikit garam, perisa dan serbuk lada putih 

Cara-Cara Masak Kuah 
  1. Tumis bahan tumbuk hingga kekuningan. 
  2. Masukkan 4-5 cawan air dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan bancuhan tepung jagung, cendawan hitam dan bahan sos. Masak sehingga mendidih dan cendawan masak.
:: NOTE ~
Untuk resipi kuah kicap di atas, banyak bahan yang Diana tidak tulis seperti resipi asal sebab kuah kicap yang akak Ummi dan Akak Ida kongsikan itu untuk resipi Yee Mee Kicap. Jadi, untuk Wantan Mee Kicap ini, resipi kuahnya Diana hanya guna bahan seperti di atas ini ya.





BACA SELANJUTNYA / READ MORE >>>